"Dan Persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah ,musuhmu dan dan orang-orang selain mereka yang tidak kamu ketahui; tetapi Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu infakkan kejalan Allah niscaya akan di balas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan di zalimi (dirugikan).."
(QS,al-Anfaal(8):60)

sama-samalah kita muhasabah diri

Apabila membincangkan isu menyelamatkan ummah, pasti akan kedengaran satu gelaran yang dilaung-laungkan.

Itulah dia Salahuddin ke-2. Saya biasa mendengar orang melaung begini:

“Bilakah agaknya Salahuddin yang kedua hendak tiba membawa keamanan?”

“Nanti bila tiba Salahuddin yang kedua, maka akan terbebaslah Al-Aqsa”

Dan begitulah.


Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa Salahuddin ke-2 itu tidak wujud, takkan muncul dan takkan ada.

Yang ada hanyalah kita.


Meletakkan tanggungjawab kepada orang lain

Siapakah yang bertanggungjawab terhadap ummah ini?

Hakikatnya adalah kita. Jawapannya yang sebenar adalah kita. Ya kita. Setiap seorang daripada kita hakikatnya bertanggungjawab atas kemaslahatan ummah hari ini. Kita wajib menjaga diri kita, keluarga kita, masyarakat dan negara kita hakikatnya.


Tetapi kita suka meletakkan tanggungjawab terhadap orang lain.

Bila ummat Islam dihina dan ditindas: “Tak apa, nanti ada la orang hebat-hebat akan muncul”

Bila negara diserangi gejala sosial yang bejat: “Tak apa, biar pemimpin negara fikir”

Bila nampak rakan-rakan bermasalah: “Aku bukan budak sekolah agama nak ajak-ajak orang buat baik”

Dan begitulah.


Sebab itu dongeng laungan Salahuddin yang ke-2, muncul untuk menyedapkan kehidupan kita.

Untuk membuatkan kita rasa tidak bersalah dalam meninggalkan tanggungjawab menjaga ummah ini.

“Di manakah Salahuddin yang ke-2?” Kita laung di dalam syair.

Tiada. Dia tiada. Yang ada hanyalah kita. Kita yang bertanggungjawab mengubah diri, meningkatkan diri, membebaskan ummah ini dari kefasadan dengan menjalankan proses pembinaan yang membawa manusia kembali kepada Allah SWT.


Muhammad Al-Fateh dan profesi Rasulullah SAW

Rasulullah SAW bersabda:

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan orang Islam. Raja(yang menakhluknya) adalah sebaik-baik raja, manakala tenteranya adalah sebaik-baik tentera” Hadith riwayat Ahmad.

Hadith ini diungkapkan baginda SAW 800 tahun sebelum kejatuhan Konstantinopel di tangan Muhammad Al-Fateh.


Barangsiapa yang membaca sejarah bagaimana Ummat Islam cuba menumbangkan Konstantinopel, maka anda akan melihat betapa ummat Islam satu kala dahulu tidak menunggu kedatangan ‘sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera’ itu.


Bahkan, merekalah yang berusaha membuktikan bahawa merekalah ‘sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera’.

Khalifah-khalifah Islam saban tahun berusaha untuk menumbangkan Konstantinopel bagi membuktikan hadith Rasulullah SAW itu. Begitulah apabila Muhammad Al-Fateh lahir, ibunya sedari kecil sudah mempersiapkan Muhammad Al-Fateh untuk menjadi ‘sebaik-baik raja’ itu. Saban petang ibunya akan membawa Muhammad Al-Fateh ke tempat yang tinggi menghadap arah Konstantinopel, kemudian ibunya akan berkata:

“Wahai anakku, di sana terdapat kota Konstantinopel. Dan Rasulullah SAW bersabda: Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya(menakhluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Ketahuilah anakku, engkau lah orangnya”


Lihatlah bagaimana Ummat Islam dahulu tidak menanti. Bahkan mereka berusaha menjadi.

Dan Muhammad Al-Fateh di zamannya, telah bergerak merancang dan menjadikan pula hadith itu sebagai motivasi kehidupannya. Dia memandang Konstantinopel itu perlu tumbang di tangannya. Dia hendak menjadi ‘sebaik-baik Raja’ yang diperkatakan itu.


Maka kita bagaimana?

Menanti Salahuddin ke-2?

Atau kitalah yang menggerakkan diri kita menjadi penyelamat dunia?


Penutup: Masalah kita adalah tidak merasai urgensi

Masalah utama, mengapa ummat Islam masih disembelih dan dihina, mengapa Palestin masih tidak terbebas dan menderita pula, mengapa gejala sosial makin berleluasa dan melarat, semua ini adalah kerana kita tidak merasakan urgensi untuk mengubah diri.

Masing-masing merasakan dirinya tidak penting.


Sedangkan, setiap individu itu hakikatnya memainkan peranan penting.

Jika tidak memegang tanggungjawab atas orang lain sekalipun, dia paling kurang memegang tanggungjawab atas dirinya sendiri.


Maka sepatutnya kita merasakan urgensi ini.

Kitalah yang perlu menggerakkan diri kita, mengangkat diri kita ke tahap yang boleh mengubah suasana, merasa bertanggungjawab dan melakukan sesuatu untuk ummah.

Salahuddin ke-2 itu tiada.

Yang ada hanyalah kita.

dipetik daripada http://ms.langitilahi.com/perkongsian-tiada-salahuddin-yang-kedua/#more-2828

-----------------
|| ibnufuad ||
"Say InsyaALLAH when you really want to do something,
never say InsyaALLAH when you don't want to do something"

Posted by hamba Allah | at 8:44 PG | 2 comments

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...